Sekali lagi pengembara berpeluang berkelana ke Negara Eropah iaitu Sepanyol. Kali ini pengembara ditemani isteri bersama. Memang kami sudah biasa dengan Negara Eropah terutama United Kingdom semenjak menuntut ijazah pertama di university di England dan Wales. Kali ini kami berlepas dari Glasgow, Scotland.
Penerbangan dari Glasgow ke Girona mengambil masa selama dua jam. Alhamdulillah, penerbangan yang baik dan penumpang-penumpang yang tidak banyak kerenah. Dari atas kapalterbang kami dapat melihat landskap tanah Scotland dan Girona. Memang menarik bagi pengembara yang sukakan keindahan landskap mukabumi dari udara. Setiba di lapangan terbang Girona dan melepasi imigresen dengan cepat, kami terus bersama-sama penumpang lain menuju ke tempat mengambil bagasi. Hampir 30 minit kami menunggu bagasi muncul di konveyor bagasi. Selepas mengambil bagasi, kami terus bergegas menuju ke pejabat kecil Hertz untuk bertanyakan kereta yang telah kami tempah dari UK lagi. Selepas membayar sewa dan mengambil kunci kereta, kami terus ke bangunan berhadapan terminal ketibaan menuju ke kereta baru kami. Kecil dan kompak. Penjimatan minyak boleh dikatakan maksima. Automatik dan selesa. Yang penting, kereta baru. Off we go…. Spain, here we come.
Kami meronda-ronda sekitar Girona melihat apa yang ada di bandar kecil itu. Pada bulan Julai, musim panas di Sepanyol berbeza dari satu provinsi ke provinsi lain. Girona tak terlalu panas pada waktu itu sekitar 25 °C. Selepas sejam kami meronda-ronda, hujan renyai pun mula turun membasahi bumi Girona.
Fakta Gerona
Girona (sebutab Catalan: [ʒiˈɾonə]; Sepanyol: Gerona [xeˈɾona]) adalah sebuah Bandar di timur laut Catalonia, Sepanyol di permudahkan dengan pengangkutan sungai seperti sungai-sungai Ter, Onyar, Galligants dan Güell. Penduduk rasmi Gerona adalah seramai 96,722 orang pada Januari 2011. Ia adalah ibu negeri provinsi yang sama nama dan juga “comarca of the Gironès”. Ia terletak 99 km (62 batu) di timur laut Barcelona.
Tempat-tempat untuk dilawati di Girona
• Cathedral – Gereja besar adalah kebiasaan di Eropah. Sepanyol sangat kuat agama katolik pada masa dulu. Sekarang ini Nampak macam mereka tak taksub dalam beragama. Hanya golongan tua yang ramai ke gereja pada hari ahad. Pada masa dulu, orang Moor yang menguasai Gerona menggunakannya sebagai masjid.
• Old Fortifications – Ini adalah benteng yang digunakan sebagai pertahanan dari serangan musuh pada masa dulu. Sepanyol, Perancis, Portugal, England, German dan Belgium sangat aktif berperang sesama mereka. Ada yang dibina seawal abad ke 1 sebelum masihi oleh orang-orang Roman.
• Sant Feliu – Ini adalah gereja yang menarik peminat seni bina arkitek. Rekabentuk senibinanya berasal dari abad ke 14 Gothic.
• Sant Pere de Galligants – Ini juga adalah gereja Benedictine yang berasal dari senibina awal Roman.
• Plaça de la Independència - Plaça de la Independència merujuk kepada peperangan kemerdekaan Sepanyol melawan Napoleon Bonaparte. Ia adalah salah satu yang terkenal dan tempat-tempat paling banyak dikunjungi di Girona. Terletak di daerah Mercadal dalam pusat bandar, juga dikenali sebagai Plaça de San Agustin, sebab sebelumnya Convent San Agustin telah didirikan disitu.
• Jewish Heritage – Pada masa dulu ramai yahudi menetap di Girona. Namun, mereka dihalau keluar dari Sepanyol satu ketika dulu. Bagaimanapun, bangunan dan senibina mereka masih wujud dan dapat dilihat di sekitar Carrer de Sant Llorenc.
Di kesempatan itu, kami hanya meninjau-ninjau dengan secepat mungkin dan tidak berhenti di gereja-gereja dan tempat warisan yahudi diatas. Ini adalah kerana kami perlu bergegas ke Barcelona untuk daftar masuk hotel penginapan kami untuk malam pertama di Sepanyol. Selepas pusing-pusing Girona, kami menuju ke Barcelona melalui jalan lama dan kemudiannya masuk ke lebuhraya bertol. Lebuhraya di Sepanyol luas dan baik tapi tol agak mahal. Sebab itu terdapat banyak kenderaan terutama lori dan treler menggunakan jalan biasa.
~ Bersambung ~
No comments:
Post a Comment